Selasa, 17 Ogos 2010

PENGENALAN

Salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.



Jangan terkejut jika ada yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang bersekolah rendah. Ini amat ketara semasa kelas ganti pada hari Sabtu dan ketika selepas peperiksaan. Kedatangan yang merosot ini boleh dilihat apabila pelajar beberapa kelas terpaksa digabungkan untuk memenuhkan sebuah kelas. Cubalah tanya kepada anak atau adik anda bila ada kelas gantian hari Sabtu atau selepas peperiksaan nanti.


Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri. Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan seringlah dia melencong ke tempat lain.


Pihak sekolah juga perlu mengambil perhatian kerana antara punca pelajar ponteng ialah kegagalan pihak sekolah menyediakan program yang menarik setelah selesainya peperiksaan. Ini telah dijadikan alasan oleh ibubapa dan para pelajar yang mengatakan membuang masa dan bosan untuk ke sekolah.


Oleh itu sekolah patut mengadakan program yang menarik minat pelajar hadir ke sekolah selepas menduduki peperiksaan. Sementara itu ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya terus ke sekolah meskipun peperiksaan telah berakhir.

video

DEFENISI

Ponteng adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut digunakan bagi kes ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri, dan bukannya kes-kes yang "dimaafkan" seperti sakit, kemalangan dan sebagainya.

Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.

Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah ataupun menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah kekurangan tersebut diisi melalui tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian.
 

PUNCA PENINGKATAN MASALAH PONTENG

  1. Suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi, seperti pembinaan arked permainan video, kafe siber atau pusat membeli-belah berhampiran sekolah
  2. Pengaruh media elektronik
  3. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa
  4. Pengaruh rakan sebaya
  5. Persekitaran sekolah yang kurang kondusif serta dibebani tekanan, umpamanya guru yang terlalu garang

KESAN & AKIBAT

Negara kekurangan pemimpin

Gejala ponteng akan memberi impak yang besar kepada Negara kerana Negara kita tidak dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjadi pelapis kepada generasi tua pada masa akan datang.



Pandangan negatif masyarakat

Masyarakat setempat akan memandang serong ataupun rendah kepada mereka. Keadaan ini akan menyebabkan maruah keluarga mereka tercemar.

Seterusnya masyarakat sekeliling akan menyalahkan ibu bapa mereka kerana tidak mendidik anak-anak mereka dengan baik seterusnya mengabaikan tanggungjawab sebagai penjaga.



Mencemarkan institusi pendidikan

Masyarakat juga akan mempersalahkan institusi pendidikan kerana para pelajar dengan mudah melanggar peraturan sekolah.

Mereka berpendapat disiplin sekolah semakin merosot dan menyebabkan para pelajar tidak lagi berasa takut untuk tidak ke sekolah.

Institusi pendidikan juga sukar untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam jangka masa pendek.

PERANAN UMUM DALAM MEMBATERAS PONTENG

Peranan umum meliputi peranan keluarga dan diri dalam menangani gejala ponteng sekolah.Dari aspek keluarga , ibubapa perlu mengambil berat tentang pembangunan salsiah anak mereka sejak kecil lagi.Selain itu,kanak-kanak perlu melibatkan diri mereka dalam didikan agama.Ini disebabkan didikan agama dapat mendisilipinkan dan membentukan jati diri mereka.



PERANAN PENDIDIK DALAM MEMBANTERAS PONTENG

Guru-guru di sekolah harus sentiasa memantau gerak-geri pelajar. Jika seorang pelajar sentiasa tidak hadir ke sekolah, guru tingkatan perlu memberitahu ibu bapa pelajar itu agar masalah ini dapat diketahui oleh ahli keluarga mereka . Guru kaunseling perlu memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar yang sering ponteng sekolah.

USAHA MENANGANI MASALAH PELAJAR PONTENG

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius akan gejala ponteng sekolah, memandangkan gejala ini seterusnya akan membawa kepada permasalahan sosial yang lebih teruk seperti gejala maksiat dan samseng remaja. Oleh itu, Polis Diraja Malaysia wajar menempatkan beberapa anggota polis bagi memantau kawasan tumpuan remaja bagi mengesan pelajar ponteng, dan sekiranya pelajar yang didapati ponteng tertangkap maka ibu bapa berkemungkinan akan dikenakan tindakan.
Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan secara menyeluruh, orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya terserempak dengan pelajar yang ponteng sekolah.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi menangani gejala ponteng dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat bagi mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan video.

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Guru-guru juga disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu garang dengan pelajar.

Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.

SISIPAN 1

Kami Tak Takut (pelajar tidak gentar mereka ponteng sekolah)

TAK HIRAU.... dua pelajar yang didapati ponteng sekolah

TELUK INTAN 30 Jun, 2009 : “Sila ambil gambar kami bang! Siarlah dalam surat khabar...kami tak takut. Lagipun, kami nak berhenti sekolah,” itu antara kata-kata beberapa pelajar sekolah yang ponteng di lokasi tersembunyi sekitar pekan Sungai Manik, dekat sini.

Sekumpulan lima hingga enam pelajar terbabit turut melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan sebelum menunggang basikal meninggalkan lokasi persembunyian di sebuah ladang kelapa sawit selepas menukar pakaian sekolah.

Fenomena ponteng di kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan bandar ini dan Taiping semakin teruk dan membimbangkan ibu bapa serta Jabatan Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) Kampung Bahagia, Tajul Hasnan Mohd Rashid, 64, berkata gejala ponteng membabitkan beberapa sekolah menengah di bandar ini semakin serius sejak empat tahun lalu.

Katanya, pihaknya juga mengesan sekumpulan pelajar terbabit dipercayai berasal dari Kampung Bahagia serta Sungai Manik menjadikan kafe siber di beberapa pasar raya di bandar Taiping sebagai lokasi ‘berseronok’.

“Sebelum ke lokasi itu, mereka menjadikan beberapa kawasan kunci air seperti Kunci Air Sungai Suli, Kunci Air Kampung Kebun Limau dan rumah kosong sekitar Kampung Bahagia untuk menyalin pakaian.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan ibu bapa pelajar terbabit, tetapi tidak ada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih mengecewakan, apabila aduan dibuat kepada ibu bapa, mereka membela anak masing-masing dan tidak mempercayai perbuatan itu dilakukan anak mereka.

“Ada ibu bapa mengatakan anak mereka ke sekolah dan pulang selepas waktu sekolah, tetapi tidak sedar mereka ditipu,” katanya.

Tajul Hasnan berkata, masalah itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat JKKP dan sudah membuat aduan ke pejabat pendidikan daerah.

Namun, tidak ada sebarang tindakan diambil, malah kegiatan ponteng itu terus berlaku.

SISIPAN 2

Pelajar ponteng sekolah mati dalam gaung



KANGAR 23 April - Seorang pelajar tingkatan dua yang ponteng sekolah bersama lima rakannya ditemui mati dalam gaung di kawasan berbukit di Telok Lalang, Sungai Batu Pahat, dekat sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritenden Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, mayat Mohd. Ridzuan Baharom, 14, yang parah di bahagian muka dan kepala, ditemui polis tersangkut pada pokok pukul 12.30 tengah malam tadi.

Pelajar itu yang menuntut di sebuah sekolah menengah di Abi di sini, disedari hilang oleh keluarganya setelah tidak pulang ke rumah pukul 6 petang semalam dan kakaknya membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada pukul 7 petang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, polis bersama penduduk kampung itu melancarkan gerakan mencari mangsa selepas menerima laporan mengenai kehilangannya. - Bernama

SISIPAN 3

5,807 pelajar ...diperiksa dalam Ops Sayang

SEPANJANG tahun 2002 sehingga 2004 sebanyak 5,807 pelajar diperiksa dalam operasi ponteng sekolah (Ops Sayang) yang dijalankan polis di seluruh negara.

Sebanyak 4,097 orang (71 peratus) pelajar lelaki dan 1,710 pelajar perempuan terlibat dalam pemeriksaan sepanjang operasi berkenaan.

Bagaimanapun daripada statistik tersebut, di Pulau Pinang jumlah pelajar perempuan yang diperiksa semasa operasi itu adalah melebihi pelajar perempuan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran D1 Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Aishah Mohammad, daripada 153 pelajar yang diperiksa di negeri itu, 78 orang adalah pelajar perempuan manakala 75 orang adalah pelajar lelaki.

Perak merupakan negeri yang paling banyak melancarkan operasi itu sepanjang tempoh tersebut.

Sebanyak 299 Ops Sayang dilancarkan di Perak diikuti Johor (92), Pahang (83), Sabah (80), Negeri Sembilan (31), Kuala Lumpur (30), Kedah (22), Perlis (7), dan masing-masing lima operasi di Kelantan dan Pulau Pinang.

Walaupun Perlis hanya melancarkan tujuh operasi namun jumlah pelajar yang diperiksa semasa operasi itu adalah melebihi pelajar di Johor yang melancarkan 92 operasi.

Sebanyak 931 pelajar diperiksa di Perlis berbanding hanya 382 pelajar di Johor.

Menurut Aishah walaupun jumlah pelajar yang tidak terlibat namun perkara tersebut perlu dibendung kerana gejala ponteng boleh menyumbang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Beliau mencadangkan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan waran Perjawatan Unit Polis Sekolah yang bertanggungjawab memastikan sistem profil pangkalan data sentiasa dikemas kini.

``Ia bertujuan mengekalkan `order in and around' persekitaran sekolah kondusif bagi pendidikan yang berterusan tanpa gangguan,'' katanya pada forum Menangani Masalah Ponteng: Pengurusan dan Tanggungjawab Bersama.

Forum tersebut bertema Budaya Profesionalisme dalam Pengurusan Pembangunan Murid sempena Seminar Kepengetuaan Kebangsaan ke-4 anjuran pelajar Sarjana Kepengetuaan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia disertai oleh Pengerusi Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PPPIBGN) Prof. Madya Mohd Ali Hasan dan Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid dari Akademi Islam UM.

Dalam pada itu Aishah berkata, melalui perjawatan tersebut memberi peluang kepada anggota polis yang terlibat untuk menumpukan tanggungjawab terhadap unit tersebut seperti yang dipraktikkan di San Diego City Schools Police di Amerika Syarikat (AS).

Penubuhan Unit Polis Sekolah bertujuan mencegah jenayah melalui landasan prosedur penguatkuasaan dan mewujudkan interaksi positif antara pelajar, komuniti dan PDRM.

Beliau juga menegaskan bahawa gejala ponteng tersebut tidak akan berjaya dibendung dengan hanya operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

``Ia hanya akan berjaya sekiranya semua pihak bersama-sama menjayakan termasuklah ibu bapa, guru, sekolah dan PIBG serta pihak berkuasa tempatan,'' katanya.

Menurut beliau, sewajarnya semua pihak tidak menuding jari kepada pihak lain dalam usaha mengatasi gejala tersebut sebaliknya memberi sokongan padu kepada semua pihak.