Selasa, 17 Ogos 2010

SISIPAN 3

5,807 pelajar ...diperiksa dalam Ops Sayang

SEPANJANG tahun 2002 sehingga 2004 sebanyak 5,807 pelajar diperiksa dalam operasi ponteng sekolah (Ops Sayang) yang dijalankan polis di seluruh negara.

Sebanyak 4,097 orang (71 peratus) pelajar lelaki dan 1,710 pelajar perempuan terlibat dalam pemeriksaan sepanjang operasi berkenaan.

Bagaimanapun daripada statistik tersebut, di Pulau Pinang jumlah pelajar perempuan yang diperiksa semasa operasi itu adalah melebihi pelajar perempuan.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran D1 Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Aishah Mohammad, daripada 153 pelajar yang diperiksa di negeri itu, 78 orang adalah pelajar perempuan manakala 75 orang adalah pelajar lelaki.

Perak merupakan negeri yang paling banyak melancarkan operasi itu sepanjang tempoh tersebut.

Sebanyak 299 Ops Sayang dilancarkan di Perak diikuti Johor (92), Pahang (83), Sabah (80), Negeri Sembilan (31), Kuala Lumpur (30), Kedah (22), Perlis (7), dan masing-masing lima operasi di Kelantan dan Pulau Pinang.

Walaupun Perlis hanya melancarkan tujuh operasi namun jumlah pelajar yang diperiksa semasa operasi itu adalah melebihi pelajar di Johor yang melancarkan 92 operasi.

Sebanyak 931 pelajar diperiksa di Perlis berbanding hanya 382 pelajar di Johor.

Menurut Aishah walaupun jumlah pelajar yang tidak terlibat namun perkara tersebut perlu dibendung kerana gejala ponteng boleh menyumbang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Beliau mencadangkan agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan waran Perjawatan Unit Polis Sekolah yang bertanggungjawab memastikan sistem profil pangkalan data sentiasa dikemas kini.

``Ia bertujuan mengekalkan `order in and around' persekitaran sekolah kondusif bagi pendidikan yang berterusan tanpa gangguan,'' katanya pada forum Menangani Masalah Ponteng: Pengurusan dan Tanggungjawab Bersama.

Forum tersebut bertema Budaya Profesionalisme dalam Pengurusan Pembangunan Murid sempena Seminar Kepengetuaan Kebangsaan ke-4 anjuran pelajar Sarjana Kepengetuaan Institut Pengajian Kepengetuaan Universiti Malaya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia disertai oleh Pengerusi Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PPPIBGN) Prof. Madya Mohd Ali Hasan dan Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid dari Akademi Islam UM.

Dalam pada itu Aishah berkata, melalui perjawatan tersebut memberi peluang kepada anggota polis yang terlibat untuk menumpukan tanggungjawab terhadap unit tersebut seperti yang dipraktikkan di San Diego City Schools Police di Amerika Syarikat (AS).

Penubuhan Unit Polis Sekolah bertujuan mencegah jenayah melalui landasan prosedur penguatkuasaan dan mewujudkan interaksi positif antara pelajar, komuniti dan PDRM.

Beliau juga menegaskan bahawa gejala ponteng tersebut tidak akan berjaya dibendung dengan hanya operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

``Ia hanya akan berjaya sekiranya semua pihak bersama-sama menjayakan termasuklah ibu bapa, guru, sekolah dan PIBG serta pihak berkuasa tempatan,'' katanya.

Menurut beliau, sewajarnya semua pihak tidak menuding jari kepada pihak lain dalam usaha mengatasi gejala tersebut sebaliknya memberi sokongan padu kepada semua pihak.

1 ulasan:

  1. wahhh....potret masa depan yang suram.
    bagaimana cara mengatasinya?????

    BalasPadam